BERITA SEMASA

179 kontena disyaki bawa e-waste diperiksa JAS

KLANG – Sebanyak 179 kontena yang disyaki membawa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di pelbagai lokasi termasuk Pelabuhan Klang dalam tempoh antara 1 Januari hingga 13 Mei lalu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, hasil pemeriksaan mendapati 122 kontena daripadanya atau bersamaan 68 peratus mengandungi e-waste dan telah ditahan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati pengimport terlibat telah membuat pengisytiharan palsu dalam cubaan membawa masuk buangan terjadual ke dalam negara,” katanya kepada media selepas menyertai lawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ke Pelabuhan Klang, hari ini.

Turut hadir dalam pemantauan itu ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), SWCorp, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan SIRIM Berhad.

Beliau berkata, susulan siasatan tersebut, sebanyak 119 Notis Arahan telah dikeluarkan kepada syarikat pengimport mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi tujuan pemulangan semula kontena ke negara asal.

“Tindakan ini selaras dengan ketetapan Konvensyen Basel yang mewajibkan semua pergerakan rentas sempadan buangan berbahaya mendapat kelulusan bertulis JAS terlebih dahulu,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk denda maksimum RM10 juta atau penjara lima tahun mengikut Seksyen 34B akta yang sama.

“Ejen dan syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 43,” katanya lagi

Wan Abdul Latif berkata, Malaysia kekal komited melaksanakan tanggungjawab di bawah Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm dalam membanteras kemasukan sisa berbahaya secara haram.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan seperti kewujudan kilang kitar semula haram melalui talian 1-800-88-2727, e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau laman web https://eaduan.doe.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button