Tidak habis-habis bercakap siapa lebih Melayu – Ketua Pemuda
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menempelak sesetengah parti politik yang berselindung di sebalik penganjuran bermacam-macam program untuk tampil lebih Melayu dan Islam sedangkan niat sebenar adalah untuk terus kekal berkuasa.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan pemimpin politik muncul dengan idea penganjuran konvensyen yang kononnya untuk berjuang demi agama dan bangsa sedangkan rakyat sudah muak menyaksikan retorik seperti itu.
“Mereka tidak habis-habis bercakap pasal siapa lebih Melayu, siapa yang lebih Islam.
“Orang UMNO jangan ikut jadi bodoh macam itu,’’ katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2023) hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, parti politik sepatutnya memainkan peranan secara lebih matang dan tidak terlalu terdesak sehingga mempamerkan sikap politik kekuasaan.
“Kami Pemuda kali ini berbeza, kami tidak minat lagi bercakap pasal politik kekuasaan tetapi tumpuan utama kami adalah kelangsungan bangsa Melayu secara holistik,’’ katanya.
Kenyataan keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dipercayai ditujukan kepada penganjuran Proklamasi Melayu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Muhamad Akmal pada masa sama menyambut baik seruan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PAU 2023 malam tadi, yang mahu Pemuda menggerakkan kongres Melayu bagi menghasilkan blueprint Melayu maju.