Rompak hasil laut Malaysia: 11 warga Vietnam ditahan
KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti perikanan haram di timur laut Pulau Latoan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, tindakan pantas itu susulan maklumat awam yang diterima sebelum aset rondaan, Bot CENDERAWASIH 10, digerakkan ke lokasi menerusi pelaksanaan OP PLUTO TIMUR 2/2013, OP CEGAH PATI 1/2022 dan OP NAGA TIMUR.
“Pasukan operasi tiba di lokasi pada jarak kira-kira 4.2 batu nautika dari timur laut Pulau Latoan sebelum mengesan dua vesel nelayan Vietnam sedang menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, ketika diarah berhenti, kru vesel bertindak agresif dengan memotong tali tunda, membiarkan tali terjuntai di bahagian belakang bot serta memasang palang besi di sisi vesel untuk menghalang usaha pemintasan.
Namun, helah tersebut gagal apabila berlaku kejar-mengejar hampir 15 minit, sebelum anggota operasi akhirnya berjaya menaiki dan menguasai kedua-dua vesel berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati vesel terbabit menangkap balat menggunakan peralatan besi padu, dengan rampasan kira-kira 20 kilogram balat basah dan 2,000 liter minyak diesel.
“Kesemua 11 kru warga Vietnam yang berusia antara 25 hingga 54 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot bersama hasil rampasan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk kedua-dua bot, peralatan dan hasil laut yang ditemui, dianggarkan mencecah lebih RM4 juta,” ujar Hasbullah.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.
Maritim Malaysia menghargai kerjasama komuniti maritim Kudat dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan pencerobohan di perairan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








