BERITA SEMASA

Lebih 200 peserta wanita sertai PLKN 3.0 di Kem Regimen 515

KUALA LUMPUR – Seramai lebih 200 peserta wanita dari seluruh negara mula melapor diri hari ini di Kem Regimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur, bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri kedua.

Program yang berlangsung selama 45 hari bermula 11 Mei hingga 24 Jun itu merupakan fasa kedua pelaksanaan PLKN 3.0 dan kem tersebut menjadi antara lokasi utama pendaftaran peserta wanita.

PLKN 3.0 memberi penekanan kepada latihan ketenteraan ringan, pembinaan karakter serta kemahiran asas dalam usaha melahirkan belia berdisiplin, berdaya tahan dan berwibawa.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran berkata, penyertaan kali ini menunjukkan minat tinggi dalam kalangan belia wanita terhadap latihan berteraskan ketahanan dan pembinaan jati diri.

“Proses pendaftaran masih berjalan dan insya-Allah akan berterusan selama dua hingga tiga hari.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran

“Mungkin hari ini belum penuh kerana ada peserta masih dalam perjalanan atau belum bersedia untuk hadir. Jadi, kita beri mereka peluang untuk mendaftar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui menyatakan keterujaan mereka menyertai program berkenaan.

“Saya memang teruja nak masuk PLKN. Dari dulu lagi teringin jadi askar sebab nak cabar diri, tapi tak layak sebab ketinggian. Jadi ini peluang saya,” kata Nur Adila Syafinas Mohd Shafirdaus.

Bagi Manissa Vikneswaran, penyertaan dalam PLKN 3.0 adalah ruang untuk menambah kenalan dan meningkatkan kecergasan.

“Saya nak cari ramai kawan, jaga kesihatan dan sertai semua aktiviti dengan komitmen 100 peratus,” katanya lagi.

Manissa Vikneswaran

Peserta dari Sabah, Ivyanna Errica Peter pula berkata, dia menyertai PLKN 3.0 untuk membentuk disiplin dan kematangan diri.

“Usia saya sudah 17 tahun. Saya memang minat dengan aktiviti lasak, jadi program ini sangat sesuai dengan minat saya,” katanya lagi.

Peserta dari Sabah, Ivyanna Errica Peter

Sementara itu, pendaftaran bagi peserta lelaki turut berlangsung hari ini di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang dengan sasaran melebihi 300 peserta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button