BERITA SEMASA

Lelaki pecah pintu pejabat MPTI guna tukul besi, tidak puas hati isu khemah

TELUK INTAN – Seorang lelaki bertindak memecahkan pintu kaca pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pagi semalam, dipercayai berang dengan tindakan pihak berkuasa tempatan itu memasang khemah di hadapan kedainya sempena sambutan perayaan.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.15 pagi dan pihak polis menerima maklumat selepas video berdurasi 1 minit 30 saat mengenai insiden itu tular di media sosial.

“Siasatan awal mendapati suspek, lelaki berusia 63 tahun, menaiki motosikal ke lokasi sebelum bertindak memecahkan dua pintu kaca utama bangunan MPTI menggunakan tukul besi yang dibawanya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Bakri, suspek cuba melarikan diri ke premis perniagaannya di Jalan Bandar, namun berjaya ditahan oleh kakitangan MPTI sebelum diserahkan kepada polis.

Tambah beliau, suspek mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan MPTI memasang khemah di hadapan kedai jam miliknya setiap kali sambutan Chitra Pournami yang didakwa menghalang penglihatan pelanggan.

“Dia juga mendakwa sudah membuat beberapa aduan termasuk laporan polis, namun tiada tindakan diambil menyebabkan dia bertindak sedemikian,” katanya.

Polis merampas tukul besi yang digunakan dalam kejadian itu sebagai barang kes, manakala suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Teluk Intan dan akan direman esok bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam.

MPTI dalam kenyataan berasingan mengesahkan laporan polis telah dibuat terhadap lelaki tersebut yang pada awalnya disangka pelanggan sebelum bertindak ganas dan mengganggu ketenteraman premis kerajaan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button