AGAMABERITA SEMASA

Kedah dinobat johan keseluruhan MTHQK 2025

KANGAR – Kedah muncul sebagai johan keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025 yang melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan dan keberkatan di Dewan 2020, di sini malam kelmarin.

Majlis penutup disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Edisi kali ini menghimpunkan 109 peserta dari seluruh negara bagi kategori tilawah dan hafazan al-Quran, berlangsung sejak 27 April 2025.

Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mewakili Terengganu muncul johan MTHQK 2025/1445H.

Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mewakili Terengganu muncul johan MTHQK 2025.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.

Mereka juga menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar kurniaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta kerajaan negeri.

Penganjuran kali ini juga lebih bermakna kerana diadakan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, menambahkan seri dan signifikan acara berprestij itu.

Kedah dinobat sebagai juara keseluruhan selepas empat orang peserta dari negeri itu berjaya meraih tempat sebagai pemenang dalam kategori masing-masing.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang kategori wanita. 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee yang juga mempengerusikan jawatankuasa jemaah hakim, prestasi para peserta tahun ini sangat memberangsangkan.

“Rata-rata bacaan yang dipersembahkan menunjukkan peningkatan yang ketara, mencerminkan penguasaan dan persiapan rapi peserta sebelum pertandingan,” jelas beliau dalam satu kenyataan di Facebook JAKIM.

Johan bagi setiap kategori akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dari 2 hingga 9 Ogos 2025.

JAKIM menyifatkan kejayaan penganjuran MTHQK 2025 sebagai bukti kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, khususnya Kerajaan Negeri Perlis sebagai tuan rumah.

Pihak penganjur berharap al-Quran terus disemarakkan dalam kalangan masyarakat menerusi pembudayaan dan pengamalan isi kandungannya, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, memperkukuh kedudukan Islam sebagai tonggak kekuatan rohani umat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button