BERITA SEMASALUAR NEGARA

Negara haram Israel isytihar darurat kebakaran hutan besar-besaran

TEL AVIV – Pihak berkuasa negara penjarah haram Israel mengisytiharkan darurat susulan kebakaran hutan besar-besaran yang melanda beberapa kawasan di utara dan tengah negara itu.

Kebakaran yang tercetus sejak awal minggu ini semakin merebak akibat cuaca panas melampau dan angin kencang, menyebabkan puluhan kawasan penempatan terpaksa dikosongkan dan ratusan penduduk dipindah ke pusat perlindungan sementara.

Situasi yang semakin memburuk itu juga memaksa Israel merayu bantuan antarabangsa untuk membantu operasi kecemasan dan memadamkan kebakaran.

Menurut Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Israel, lebih 1,500 anggota bomba dikerahkan ke lokasi-lokasi terjejas, dibantu oleh pesawat pemadam api dan pasukan sukarelawan.

Beberapa laluan utama juga ditutup bagi memberi laluan kepada operasi menyelamat.

“Keutamaan kami kini adalah keselamatan penduduk serta meminimumkan kerosakan harta benda dan alam sekitar,” kata jurucakap kementerian dalam satu sidang media.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi amaran kebakaran hutan yang merebak dengan pantas berhampiran Baitulmaqdis berisiko sampai ke bandar itu, sambil mengisytiharkan keadaan tersebut sebagai “darurat nasional”.

Pihak berkuasa negara haram Israel kini merayu bantuan dari negara-negara sekutu untuk membantu operasi memadam kebakaran.

Asap tebal yang berkepul di atas lebuh raya berhampiran Baitulmaqdis ketika pasukan bomba bergegas mengawal kebakaran hutan semalam turut mencederakan beberapa individu.

Agensi penyelamat Israel, Magen David Adom (MDA), melaporkan ratusan orang awam terperangkap dalam kebakaran terburuk sejak kebelakangan ini.

MDA menyatakan pihaknya telah memberikan rawatan kepada 23 orang yang mana 13 daripada mereka dimasukkan ke hospital, kebanyakannya akibat terhidu asap dan melecur.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan namun beberapa individu cedera ringan akibat terhidu asap tebal.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kebakaran, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada faktor cuaca ekstrem dan aktiviti manusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button