MPSepang sita barangan peniaga degil halang laluan awam
CYBERJAYA – Sebanyak 14 notis kesalahan dan tindakan sitaan dikeluarkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terhadap peniaga yang meletakkan barang di kawasan awam hingga mengganggu laluan.
MPSepang dalam satu kenyataan berkata, operasi dilakukan Jabatan Penguatkuasaan MPSepang pada Isnin lalu membabitkan kawasan di sekitar Plaza Crystalville dan Glomac.
Katanya, tindakan sitaan dan pindah halangan dilakukan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan barangan membabitkan perniagaan di tempat awam.
“Kesalahan lain dikesan membabitkan Peruntukan 3,Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja (MPSepang) 2007 iaitu menjaja tanpa lesen.
“Tindakan diambil sebagai maklum balas kepada aduan awam yang diterima bagi memastikan kawasan awam sentiasa teratur dan selamat,” katanya di Facebook semalam.
MPSepang berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penjaja yang tidak berlesen atau mereka yang menjaja serta meninggalkan barang di kawasan awam termasuk meletakkan barangan perniagaan seperti kerusi dan meja di petak parkir.
Jelasnya, tindakan penguatkuasaan ini bagi menjamin keselesaan orang awam, pengunjung dan penduduk di kawasan berkenaan.
“Operasi berterusan akan diadakan bagi memastikan kawasan awam sentiasa teratur, bersih dan selamat,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








