LHDN perluas Sistem e-Janji Temu, mudahkan urusan pembayar cukai
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatannya menerusi peluasan penggunaan Sistem e-Janji Temu yang kini diperluas kepada pegawai LHDN di seluruh negara.
Menurut LHDN, langkah berkenaan bertujuan untuk memastikan pengurusan kes pembayar cukai dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan efisien.
Jelasnya, Sistem e-Janji Temu yang mula diperkenalkan pada 1 Januari 2023 telah membantu memudahkan pembayar cukai mendapatkan perkhidmatan percukaian secara lebih teratur di semua Kaunter Perkhidmatan LHDN.
“Keberkesanan sistem ini terbukti apabila ia diperluaskan fungsinya pada 8 Mac 2024, membolehkan majikan mengemukakan permohonan perkhidmatan kaunter luar, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti kepada pelanggan,” katanya.
LHDN berkata, mulai 1 Mei ini, pembayar cukai yang menerima notis atau surat melalui peti surat portal MyTax dan memerlukan penjelasan lanjut, boleh membuat janji temu dengan pegawai bertanggungjawab menerusi sistem e-Janji Temu.
“Permohonan janji temu boleh dibuat melalui portal MyTax > peti mel > senarai surat > surat berkaitan > ikon e-Janji Temu,” katanya.
Dalam pada itu, LHDN berkata, panduan penggunaan sistem turut disediakan di portal tersebut bagi memudahkan pelanggan, termasuk pilihan membuat janji temu secara fizikal di pejabat LHDN atau secara dalam talian mengikut keperluan masing-masing.
“LHDN yakin peluasan sistem ini mampu membantu pembayar cukai merancang urusan percukaian mereka secara lebih efisien dan mesra pelanggan, di samping memperkasa kualiti penyampaian perkhidmatan LHDN kepada rakyat,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (luar negara), perkhidmatan Live Chat atau melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







