LHDN laksana program pengakuan sukarela mulai 6 Jun
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan bahawa pengakuan sukarela menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 boleh dibuat bermula pada 6 Jun ini sehingga 31 Mei 2024.
Menurutnya dalam satu kenyataan, PKPS 2.0 ini merupakan inisiatif LHDN untuk menyokong rukun kemampanan dalam pentadbiran percukaian negara seiring dengan konsep Malaysia Madani.
“Program yang ditawarkan ini memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka berteraskan konsep A.E.S (Awareness, Education, Services) yang diamalkan di LHDN.
“PKPS 2.0 ini memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan LHDN yang sedang berkuat kuasa serta menggalakkan pembayar cukai membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya lagi, PKPS 2.0 ini ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai (kecuali kategori fail majikan) di mana penalti yang ditawarkan adalah pada kadar 0 peratus.
Ujarnya, pengakuan sukarela ini hendaklah dibuat melalui kaedah yang ditetapkan iaitu bagi pembayar cukai baharu perlu menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) dan perlu dikemukakan dalam tempoh pelaksanaan program ini sama ada secara e-Filing atau e-CKHT atau manual.
“Bagi pembayar cukai sedia ada mereka tidak mengemukakan BNCP/BNCKHT. BNCP / BNCKHT perlu dikemukakan dalam tempoh PKPS 2.0 sama ada secara e-Filing/ e-CKHT atau manual.
“Selain itu mereka yang telah mengemukakan BNCP namun terdapat pendapatan yang tidak dilaporkan, pengakuan sukarela perlu dikemukakan melalui pautan PKPS 2.0 di portal rasmi LHDN https://www.hasil.gov.my / MyTax dengan menggunakan Borang
Pelaporan Pertambahan Pendapatan PKPS 2.0 dan pengiraan cukai.
“Pengiraan cukai hanya perlu dikemukakan oleh pembayar cukai kategori fail syarikat, perniagaan dan perkongsian,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, bagi pengakuan sukarela yang melibatkan isu harga pindahan, Borang Pengakuan Sukarela Bagi Kes Harga Pindahan boleh dimuat turun dari portal rasmi LHDN.
Sementara itu, bagi pembayar duti, dokumen / perjanjian perlu dikemukakan melalui Stamp Assessment And Payment System (STAMPS) untuk proses penyeteman.
“LHDN akan menerima maklumat pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh PKPS 2.0 dengan suci hati. Semakan lanjut sama ada melalui audit atau siasatan tidak akan dilakukan terhadap tahun taksiran yang berkaitan dengan pendapatan yang dilaporkan secara sukarela,” katanya.