JAKIM dan sektor korporat perkukuh kerjasama strategik
BANGI — Jalinan strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan syarikat-syarikat korporat utama negara terus diperkukuh menerusi Majlis Liqa’ Mahabbah Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) yang berlangsung di Bangi Resort, Selangor.
Majlis yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar itu menjadi medan pengukuhan kerjasama dalam memperkasa agenda dakwah nasional, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Program anjuran SDK JAKIM sempena sambutan Aidilfitri itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail serta menghimpunkan ketua pegawai eksekutif dan wakil tetap dari pelbagai entiti korporat.
Dalam ucapannya, Mohd Na’im menegaskan kerjasama strategik antara JAKIM dan sektor korporat merupakan satu pendekatan yang mampu memperluas keberkesanan gerakan dakwah di peringkat nasional.
“Kerjasama ini bukan sahaja menjana impak langsung terhadap pembangunan sahsiah ummah, malah menyumbang kepada pembentukan ekosistem dakwah yang lebih inklusif.
“Ini selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan spiritual dan moral sebagai asas kemajuan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara entiti korporat yang hadir termasuk Lembaga Tabung Haji, Bank Islam, Maybank Islamic, Bank Muamalat, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Permodalan Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak Pertubuhan Kebajikan Al-Kausar sebagai simbol kasih sayang dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.
Penganjuran majlis itu mengukuhkan peranan JAKIM dalam memacu dakwah berlandaskan pendekatan kolaboratif, sekali gus memperteguh kedudukan Islam sebagai agama rahmat dan sumber kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








