AGAMARENCANA

Berfesyen jangan sampai langgar batas syariat

Oleh USTAZ MUHAMMAD DZUL RAHMAN OTHMAN

IBARAT pertandingan fesyen. Begitulah suasana kemeriahan Syawal khususnya semasa menghadiri rumah terbuka atau majlis-majlis hari raya yang rancak dianjurkan ketika ini.

Daripada pakaian yang baru hingga ke solekan yang segar, semuanya dirancang dengan teliti untuk menampilkan penampilan terbaik sepanjang Syawal ketika diundang rumah terbuka atau berkunjung ke rumah sanak saudara.

Namun, dalam keghairahan untuk bergaya, seringkali kita terlupa akan batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama, terutamanya mengenai aurat dan adab berpakaian.

Penganjuran rumah terbuka sempena bulan Syawal yang rancak ketika ini membuatkan umat Islam teruja untuk tampil dengan fesyen terkini bagi memeriahkan suasana.

Di sinilah pentingnya kita memahami hukum dalam berpakaian agar sambutan Aidilfitri ini tidak hanya meriah di luar, tetapi juga diberkati dan diredhai di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya dan menjaga kehormatannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya.”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita Islam wajib menutup aurat mereka dengan sempurna, meliputi seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan.

Begitu juga bagi lelaki, mereka perlu menutup aurat dari pusat hingga lutut.

Walaupun fesyen masa kini banyak memberi kebebasan dalam gaya dan rekaan, ia haruslah dalam lingkungan yang tidak melanggar batas aurat yang telah ditentukan kepatuhan syariat.

Tutup atau balut?

Di samping itu, trend fesyen raya sering kali menjadikan pakaian yang ketat, jarang atau terlalu terdedah sebagai pilihan.

Walaupun fesyen ini mungkin dianggap menarik dan mengikut peredaran zaman, ia tidak memenuhi tuntutan syariat yang mewajibkan umat Islam untuk berpakaian dengan sopan, menutup aurat dan menghindari perhiasan yang melampau (tabarruj).

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman, ‘Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, karena itu mereka tidak diganggu.”

Jadi, memilih pakaian yang longgar dan menutupi tubuh dengan baik adalah langkah pertama dalam memastikan kita mematuhi syariat.

Orang lelaki terutama suami bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak menutup aurat dengan sempurna tidak kira sama ada ketika musim perayaan atau bukan. – Gambar hiasan

Walaupun ada kebebasan untuk berfesyen, kita perlu memastikan bahawa pakaian kita tidak mendedahkan aurat dan tidak menarik perhatian yang boleh menimbulkan fitnah.

Berhias atau mengenakan pakaian yang cantik pada hari raya adalah amalan yang digalakkan dalam Islam.

Namun, tabarruj, yakni berhias dengan berlebihan hingga menonjolkan kecantikan yang seharusnya hanya dilihat oleh suami atau mahram, adalah sesuatu yang dilarang.

Selain itu, perhiasan yang terlalu mencolok atau solekan yang berlebihan boleh mengundang pandangan yang tidak sepatutnya dan ini bertentangan dengan tuntutan Islam untuk menjaga kehormatan diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita yang keluar rumah dengan berhias sehingga menonjolkan kecantikannya, maka dia adalah wanita yang berzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Justeru, meskipun kita dianjurkan untuk bergembira, namun keseronokan itu tidak seharusnya mengorbankan adab dan akhlak Islam.

Fesyen raya tidak salah, tetapi ia harus disertai dengan kesedaran untuk mematuhi batas syariat.

Dengan memilih pakaian yang menutup aurat dengan baik, menghindari perhiasan yang berlebihan dan mengingati hukum Allah dalam setiap perbuatan kita, kita dapat merayakan Aidilfitri dengan penuh berkat.

Marilah kita menyambut Syawal ini dengan pakaian yang sopan dan hati yang bersih, menjadikan Syawal sebagai titik tolak untuk terus memperbaiki diri dalam semua aspek, termasuk dalam menjaga batas aurat dan berfesyen mengikut syariat Islam.

* Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Kolej Islam As Sofa

Ustaz Muhammad Dzul Rahman Othman

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button