Dua buku dikenakan perintah larangan penerbitan
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) terhadap dua tajuk penerbitan, hari ini.
Dua tajuk penerbitan itu adalah “The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed” oleh Abdullah Hashem melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 4) 2025 [P.U.(A) 76] dan “Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/ Cyrus The Great dan Iskandar Agung” melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 5) 2025 [P.U.(A) 77].
Kedua-dua penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Perintah larangan terhadap kedua-dua hasil penerbitan itu adalah selaras peruntukan mengikut subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Perintah Larangan mengikut Akta 301 ini berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Dalam masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDN mengingatkan, Subseksyen 8(2) Akta 301 memperuntukkan bahawa, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Maklumat lanjut berkaitan dengan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








