BERITA SEMASA

Banjir : Unit tindak DAP Johor jalin kerjasama dengan bomba

JOHOR BAHRU – Pasukan sukarelawan Unit Tindak (UT) DAP Johor bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam usaha menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini sejak 19 Mac lalu.

Kerjasama itu membolehkan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berjalan lancar, termasuk menyelamatkan 39 murid dan guru di SK Tampoi Utama yang terkandas sehingga lewat malam pada 20 Mac.

banjir
UT DAP memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Unit Tindak (UT) DAP Johor memaklumkan, kawasan Kangkar Tebrau, Bukit Mutiara, Skudai dan Perling mengalami kesan paling serius, manakala Taman Tampoi Utama turut dilanda banjir buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, walaupun kejadian itu menyebabkan banyak kerosakan harta benda, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kami bersyukur tiada kehilangan nyawa, cuma ada kecederaan ringan dalam proses pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan bersama Ketua Unit Tindak DAP Johor, Koh Chia Heng.

Ketua Unit Tindak DAP Johor, Koh Chia Heng.

Beliau turut berkata, lebih 11,000 penduduk di kawasan Perling terjejas selepas bekalan elektrik terpaksa diputuskan berikutan paras air yang mencecah empat kaki, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Koh Chia Heng, UT DAP Johor mula turun padang sejak awal pagi 20 Mac untuk membantu mangsa di kawasan terjejas, termasuk Tebrau, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Pulai dan Kulai.

banjir
Unit Tindak DAP Johor.

“Seramai 50 sukarelawan Unit Tindak dikerahkan ke lokasi-lokasi banjir, termasuk membantu pemindahan 39 murid dan guru di SK Tampoi Utama yang terkandas sehingga lewat malam 20 Mac,” katanya lagi.

Bagi melancarkan operasi bantuan, Jawatankuasa DAP Johor turut menyumbangkan RM5,000 bagi pembelian peralatan pembersihan, makanan untuk sukarelawan serta barangan keperluan lain.

UT DAP Johor turut menempah lapan tong RORO bagi membantu SWM Environment Sdn Bhd (SWM) menguruskan pembuangan sampah dan perabot yang rosak akibat banjir.

Tong sampah besar itu mula dihantar ke kawasan pembersihan rumah mangsa pada 22 Mac.

Selain itu, pihaknya juga mengumpulkan sumbangan orang ramai, khususnya makanan, untuk dihantar ke PPS dan mangsa banjir yang masih memerlukan bantuan.

Sheikh Umar berkata, pihaknya menghargai pengumuman Menteri Besar Johor berkenaan bantuan kewangan kepada mangsa banjir, namun menegaskan keperluan mempercepatkan proses pembersihan.

“Kami berharap pihak SWM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat bertindak segera kerana masih banyak sampah dan perabot rosak bertimbun di hadapan rumah penduduk.

“Jika dibiarkan lama, ia boleh menimbulkan masalah kesihatan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan ramai mangsa banjir akan menyambut Aidilfitri dalam tempoh seminggu, menjadikan proses pemulihan lebih mendesak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button