Penjawat awam perlu amal konsep ‘itqan fil amal’ – JAKIM
SEPANG – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua penjawat awam agar mengamalkan konsep ‘itqan fil amal’ iaitu kecekapan dan usaha berterusan ke arah kecemerlangan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan sedemikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ketua Jabatan (MKJ) Kali Ke-2 bagi tahun 2025 yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, penyelarasan dan penambahbaikan berterusan sangat penting dalam memastikan setiap agenda serta perancangan yang telah disusun dapat dicapai dengan lebih berkesan.
“Negara perlu diurus tadbir dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan dan ketirisan serta rasuah harus dibanteras seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hanya dengan itu Malaysia akan terus dihormati sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan berwibawa,” katanya.
Beliau turut berterima kasih di atas kerjasama semua ahli mesyuarat dan berharap mereka terus bersemangat tinggi dan bekerja penuh dedikasi demi mencapai Al-Falah serta merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Dr. Mohamad Kori Jusoh dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail.
Melalui mesyuarat itu, ia menghimpunkan wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta agensi-agensi di bawah portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam usaha memperkukuhkan dasar serta strategi teknikal dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
Hadir sama adalah pegawai-pegawai kanan JAKIM yang bersama-sama membincangkan hala tuju dan penyelarasan dasar berkaitan hal ehwal Islam di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















