Trump ulangi hasrat miliki Greenland, janji keselamatan, makmur
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi menegaskan minatnya untuk memperoleh Greenland dalam ucapan beliau di Kongres semalam, dengan menjanjikan kemakmuran dan keselamatan kepada penduduk pulau tersebut yang disifatkannya sebagai “luar biasa”.
“Kami akan memastikan keselamatan anda, kami akan menjadikan anda kaya dan bersama-sama, kita akan membawa Greenland ke tahap yang tidak pernah anda bayangkan sebelum ini,” kata Trump.
Beliau turut menekankan kepentingan strategik pulau yang merupakan wilayah autonomi Denmark itu.
“Ia mempunyai populasi yang kecil, kawasan tanah yang sangat luas dan amat penting untuk keselamatan ketenteraan,” tambahnya.
Tinjauan pendapat menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Greenland menolak untuk menyertai AS, walaupun majoriti menyokong kemerdekaan daripada Denmark pada masa hadapan.
Minat Trump terhadap Greenland bukanlah perkara baharu. Malah, sebelum memulakan penggal kedua sebagai Presiden AS, beliau telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Greenland sebahagian daripada negaranya.
Namun, Denmark, sebagai sekutu NATO, menegaskan bahawa pulau itu bukan untuk dijual.

Pulau yang terletak di laluan terpendek antara Eropah dan Amerika Utara itu menjadi lokasi penting bagi sistem amaran peluru berpandu balistik AS.
“Kita memerlukannya untuk keselamatan dunia,” tegas Trump.
Dalam ucapannya, Trump turut menyatakan sokongan terhadap hak rakyat Greenland untuk menentukan masa depan mereka.
“Kami amat menyokong hak anda untuk menentukan hala tuju sendiri dan jika anda memilih, kami mengalu-alukan anda ke dalam Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pentadbirannya sedang bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk mencapai matlamat tersebut.
“Saya fikir kita akan mendapatkannya, satu cara atau yang lain,” katanya yang disambut dengan gelak ketawa oleh wakil Republikan di Dewan Perwakilan.
Minat Trump terhadap Greenland telah mencetuskan semangat dalam gerakan kemerdekaan pulau itu, sehingga ada seruan untuk mempercepatkan perbincangan mengenai pemisahan dengan Denmark, bekas kuasa kolonialnya.
Namun, parti pemerintah Greenland, Inuit Ataqatigiit, menyatakan bahawa mereka tidak akan tergesa-gesa mengadakan undian kemerdekaan selepas pilihan raya umum pada 11 Mac, dengan mengambil kira implikasi ekonomi dan kebajikan.
“Masa depan Greenland adalah untuk ditentukan oleh rakyatnya sendiri,” kata Duta Besar Denmark ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christina Markus Lassen kepada wartawan, semalam.
Beliau turut menyatakan bahawa Denmark bersetuju dengan pentadbiran Trump mengenai keperluan untuk memperkukuh keselamatan di sekitar Artik dalam keadaan geopolitik semasa.
“Kami telah bekerjasama dengan AS dalam isu keselamatan di Greenland dan Artik selama beberapa dekad,” tambah Lassen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








