BERITA SEMASA

Ismail Sabri suspek kes rasuah, pengubahan wang haram – SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai salah seorang suspek dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sehubungan itu pihaknya akan mengambil keterangan Ismail Sabri pada Rabu ini, bergantung kepada tahap kesihatannya.

Beliau dalam satu sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM di sini hari ini berkata, penemuan wang tunai sebanyak RM170 juta dalam sebuah ‘safehouse’ menerusi satu serbuan, baru-baru ini, mengesahkan Ahli Parlimen Bera tersebut merupakan salah seorang suspek dalam kes ini.

“Justeru, antara tindakan yang telah diambil oleh SPRM terhadap beliau adalah meminta beliau memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.

“Kita telah meminta beliau mengisytiharkan hartanya, dan apabila terdapat penemuan wang dalam jumlah besar ini, maka adalah penting bagi kita untuk mendapatkan penjelasan daripadanya,” tambahnya.

Setakat ini, 13 akaun bank bernilai RM2 juta telah dibekukan, namun akaun Ismail Sabri masih dalam siasatan.

“Daripada kesemua suspek yang ditahan, tiga daripadanya merupakan ahli politik,” tambah Azam Baki.

SPRM sebelum ini mengesahkan, rampasan wang tunai bernilai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button