Hampir 20,000 dikompaun kesalahan merokok sejak Oktober tahun lalu
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4.8 juta bagi 19,340 kesalahan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 sejak Oktober tahun lalu sehingga 31 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 142,158 premis diperiksa melalui 7,228 operasi di seluruh negara.
Katanya, kesalahan itu membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 47.
“KKM juga mengeluarkan sebanyak 1,430 notis kesalahan mengikut Seksyen 16 iaitu larangan merokok di kawasan larangan dalam 160 operasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 1 Oktober tahu nlalu sehingga 3 Februari lalu,”
“Dalam operasi kali ini yang dijalankan sejak 5 Februari lalu hingga hari ini (semalam) sebanyak 299 premis di pasar malam dan kawasan sekitarnya diperiksa dan susulan itu sebanyak 105 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Akta 852 dan Akta 281,” katanya.
Dzulkefly berkata, kesalahan mengikut Akta 852 membabitkan masing-masing satu notis kesalahan mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 12, 62 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 dan tiga notis di bawah Seksyen 18.
“Manakala kesalahan mengikut Akta 281, sebanyak 38 notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly juga menyampaikan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada empat premis makanan yang memenuhi keperluan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada operasi berkenaan.
Katanya, sehingga Disember tahun lalu sebanyak 13,307 premis makanan sudah mendapat pengiktirafan BeSS di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








