BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jenazah bekas wartawan Utusan selamat dikebumi, ratusan sahabat beri penghormatan terakhir

KUALA LUMPUR – Jenazah bekas wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras Perdana di sini, sekitar pukul 12 tengah hari.

Terdahulu pada pukul 9 pagi, jenazah tiba di Masjid Taman Taming Jaya di Balakong untuk dimandi dan dikafankan.

Zahra menyiram air di kubur ayahnya, Allahyarham Muhammad Basir selepas jenazah selamat dikebumikan sekitar pukul 12 tengah hari.

Lebih 300 sahabat Allahyarham yang terdiri daripada pengamal media dan bekas wartawan hadir menunaikan solat jenazah dan memberikan penghormatan terakhir buat jenazah.

Adik Allahyarham, Siti Salha, 42, berkata, arwah abangnya tidak menunjukkan sebarang kelainan sebelum pemergiannya.

Bagaimanapun, Allahyarham dikatakan lebih pendiam dan tidak banyak bercerita dengan keluarga berbanding sebelum ini.

Ramai rakan media termasuk bekas wartawan Utusan hadir memberi penghormatan terakhir buat arwah di Masjid Taman Taming Jaya, Balakong.

“Sepanjang lapan hari abang ditahan di hospital, setiap hari saya datang ziarah,” kata Siti Salha kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, buat masa ini mereka belum membuat keputusan siapa yang akan menjaga anak-anak Allahyarham memandangkan ibu mereka, Noor Azlina Jaafar yang juga bekas jurufoto Utusan Malaysia sudah meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.

“Setakat ini belum ada perancangan khusus berkaitan penjagaan anak-anak arwah abang.

“Tapi kami akan berbincang dan mendengar pandangan mereka terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil,” jelasnya.

Zahra (kanan) bersama adik-adiknya, Damia (kiri) dan Daniel redha dengan pemergian ayah mereka.

Allahyarham Muhammad Basir yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.45 petang semalam di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang meninggalkan tiga orang anak berusia 15, 13 dan 10 tahun.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Nur Iman Zahra dan adik-adiknya dilihat tenang berdepan ujian kehilangan ayah tersayang.

“Kami redha dengan apa yang Allah takdirkan,” ujarnya ringkas.

Allahyarham Muhammad Basir pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam industri kewartawanan negara pada tahun 2005.

Allahyarham Muhammad Basir pernah memenangi Anugerah Kajai Malaysia Press Institut (MPI) iaitu anugerah tertinggi dalam industri kewartawanan negara pada tahun 2005.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button