Farizah cerminan suri rumah dengan penuh ‘multitasking’
BERDEPAN dunia yang penuh cabaran, ada segelintir insan yang tidak pernah tunduk pada kesukaran, sebaliknya terus tabah mendepani ujian.
Dalam erti kata lain, ujian hidup bukan kekangan untuk mereka terus berusaha meluaskan ilmu dan meraih pengalaman berharga untuk diri.

Itu yang boleh digambarkan mengenai Farizah Shamsudin, 50, yang bukan sekadar ibu kepada lima cahaya mata, tetapi juga seorang pejuang kehidupan yang sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan diri dan keluarga.
Beliau bukan hanya insan yang menerima takdir seadanya, tetapi berusaha mencipta ruang dan peluang untuk terus ke depan dan memperbaiki kehidupan.
Sebagai seorang surirumah sepenuh masa sejak kelahiran anak pertamanya, Farizah tidak membiarkan masanya berlalu tanpa manfaat.

“Ketika itu saya mengisi masa lapang dengan belajar kemahiran jahitan kraf, pakaian dan bakeri. Ia membolehkan saya mengambil tempahan menjahit baju kurung, baju Melayu dan membuat kek.
“Paling mendapat sambutan adalah jualan pavlova. Rasa seronok bila dapat jana pendapatan sendiri.
“Lebih membahagiakan apabila asbab menjual pavlova, saya dapat berhubung semula dengan rakan-rakan sekolah yang sudah lama tidak berjumpa,” kongsi Farizah kepada Malaysia Tribune.

Namun, tahun 2011 membuka lembaran baru dalam hidup Farizah apabila beliau mula menceburi dunia penulisan dengan menyertai kursus penulisan kreatif secara dalam talian.
Perjalanan itu membawanya lebih jauh apabila pada tahun 2017, Bonda Nor, seorang penulis prolifik dan penceramah motivasi mengajaknya menulis bersama dalam buku antologi Up To You.
“Malah, saya juga menjadi antara mentor terawal apabila beliau bertindak mengasaskan Akademi Bonda Nor (ABN).

“Dari situ, jalan saya dalam dunia penulisan semakin luas. Melalui ABN, kami dilatih untuk menyunting karya-karya antologi sebelum menjadi mentor penulisan buku solo sekali gus berpeluang membimbing ramai penulis dalam menghasilkan karya mereka,” jelas Farizah.
Bagaimanapun, bagi wanita kelahiran Kulim, Kedah itu, bukan hanya penulisan yang dekat di hatinya.
Ini kerana bidang fotografi juga telah menjadi sebahagian daripada jiwanya sejak tahun 2009.

Ia bukan sekadar hobi, tetapi cara beliau mengekspresikan diri iaitu mencari makna dalam lensa dan kata-kata, menyampaikan emosi yang sukar diungkap dengan bicara.
“Penulisan dan fotografi bukan sekadar pekerjaan bagi saya tetapi ia adalah dunia yang memberi ruang untuk berkarya, berkongsi rasa dan menyampaikan kisah kehidupan.
“Antara kepuasan saya dalam bidang fotografi adalah apabila dapat merakamkan momen-momen ‘mahal’ dalam kehidupan seseorang sekali pun ia mungkin hanya rutin kehidupan biasa atau senyuman yang kelihatan biasa-biasa.

“Lantaran saya percaya, kenangan yang biasa-biasa itu, satu hari nanti akan jadi kenangan berharga yang pasti akan dirindui,” tuturnya.
Antara karya penulisan yang pernah dihasilkan termasuklah Isteri Dominan, Pantang Menyerah, CRUSH, Hantu Travel, Sahabat Syurga, Pelan Pelan Kayuh, Jalan Keluar, Cinta Ke Syurga, Meludah Ke Langit, Blur, Clear dan Wanita Bangkit.
Malah, beliau juga pernah menghasilkan photobook peribadi khas tanda kasih dan cinta pada emaknya.

“Sebenarnya saya memang suka print gambar famili dalam bentuk photobook fizikal sebab nanti seronok bila nak belek-belek semula.
“Kadang-kadang ada juga sahabat dan kenalan yang menggunakan khidmat photoshoot saya kemudian mereka tempah buat photobook sekali,” kongsi beliau.
Dan kini, Farizah terus mengorak langkah sebagai usahawan Pes Ibu Sambal dan Pes Rendang yang dimulakan sejak tahun 2023 dan mendapat maklum balas sangat positif daripada pelanggannya.

Ramai yang bukan sekadar mencuba, malah berkongsi pengalaman mereka di media sosial tanpa diminta.
“Saya tak suruh pun. Mereka sukarela buat. Syukur jika pes itu dapat memudahkan urusan ibu-ibu di dapur. Syukur jika ia mampu menepati citarasa sahabat semua.
“Pes ini bukan sekadar memudahkan kerja memasak, tetapi juga membawa kehangatan kasih sayang seorang ibu dalam setiap hidangan yang terhidang di meja makan,” jelas beliau.

Hakikatnya, kegigihan Farizah berusaha mencari rezeki boleh dicontohi para wanita di luar sana terutama mereka yang bergelar suri rumah yang terikat dengan pemberian suami untuk berbelanja.
“Alhamdulillah, saya sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat kurniaan Allah. Dalam kamus hidup saya, tiada istilah menyerah atau berputus asa. Bagi saya rezeki Allah itu terlalu luas.
“Jadi, jangan rasa takut tentang rezeki selagi mana kita ikut jalan yang Allah redhai,” ungkap Farizah yang merupakan bekas pelajar kelahiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping dan graduan Universiti Sains Malaysia itu.

Bagi wanita berwawasan itu, tanggungjawab sebagai ibu bukan sekadar gelaran tetapi simbol keteguhan jiwa dan pengorbanan tanpa batas.
Apa yang pasti, kisah Farizah yang bermula dari rumah, kini melakar namanya dalam dunia penulisan dan fotografi tanah air serta terjun dalam bidang perniagaan kecil-kecilan menjadi bukti perjuangan seorang wanita yang tidak pernah lelah dalam menggapai redha Allah.
Untuk mereka yang mahu mendapatkan khidmat wanita ini sebagai jurufoto, penyunting, editor atau mahupun keenakan pes ibu sambal dan pes rendang beliau, sila hubungi talian 016-275 8642.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








