Berita Semasa

KKM umum lima inisiatif tambah baik fasiliti kesihatan di Terengganu

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM72.5 juta bagi projek pembangunan baharu fasiliti kesihatan di Terengganu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peruntukan yang diumumkan itu meliputi lima inisiatif, antaranya Klinik Kesihatan Hiliran di Kuala Terengganu bakal menerima peruntukan RM 17 juta bagi menyiapkan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar sebagai tambahan daripada peruntukan asal sebanyak RM15 juta.

Sementara itu, sebanyak tiga klinik yang terkesan akibat banjir pada tahun ini akan menerima peruntukan khas sebanyak RM500,000 melibatkan Klinik Desa Gong Tanah Merah, Klinik Desa Alor Lintah dan Klinik Desa Alor Keladi.

“Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit dan merupakan satu projek yang menjadi perhatian KKM akan disiapkan tahun ini dan bakal memberi manfaat besar kepada warga setempat apabila beroperasi kelak.

“Untuk tujuan baik pulih dan naik taraf, sebanyak 53 buah klinik daif menerima peruntukan bernilai RM8.9 juta demi keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua inisiatif yang dinyatakan itu, kata Dr. Zaliha, bakal meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri susulan lawatannya ke Terengganu semalam.

Tambahnya, ia juga merupakan sebahagian daripada reformasi kesihatan yang menjadi tekad beliau selaras dengan pembangunan Kertas Putih Kesihatan.

Show More

Related Articles

Back to top button