Jemaah haji B40, M40 di Selangor akan terima Insentif Haji Muassasah
CYBERJAYA – Seramai 3,000 bakal jemah haji dari kumpulan B40 dan M40 di Selangor bakal menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM1.653 juta dan diedarkan Insentif Haji Muassasah 1444H / 2023M.
Katanya, sumbangan itu diberikan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada pemohon yang menepati syarat kelayakan.
“Setiap jemaah yang memohon dan menepati syarat kelayakan akan diberikan wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa termasuk ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen, serta pelembab bibir.
“Permohonan akan dibuka bermula Jumaat, 19 Mei 2023 hingga 25 Ogos 2023,” kata Amirudin dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, urusan permohonan akan dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri dan akan diselaraskan oleh MBI selaku pelaksana program.
“Para jemaah yang layak memohon semestinya berwarganegara Malaysia dan melampirkan salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang mengandungi kenyataan bayaran haji serta salinan jadual penerbangan.
“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing .
“Saya mengharapkan usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman tahun ini,” kata Amirudin lagi.