Jenayah & Mahkamah

Kes buli: Polis sudah ambil keterangan mangsa, suspek

KUALA LUMPUR – Akibat dituduh ‘tidak menghormati senior’, seorang pelajar tingkatan tiga ditumbuk dan diterajang oleh sekumpulan pelajar di Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan kejadian, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa pelajar tingkatan 5 sebuah sekolah di Taman Melawati, di sini, kerana disyaki membuli pelajar tersebut.

“Pada 8 Mei pukul 9.30 pagi semasa di tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang di bahagian belakang oleh seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang dikenali.

“Mangsa diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

Kemudiannya pada kira-kira pukul 3 petang, mangsa diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar, Kemensah lalu dipukul.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior tingkatan lima,” kata Mohamad Farouk dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, salah seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali sambil disaksikan sekitar 15 pelajar lain.

Beliau menambah, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang belakang tengkuk dan mengalami kesakitan serta lebam.

Kes diisiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Katanya, individu yang disabitkan kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Show More

Related Articles

Back to top button