JPJ laksana Op Mengejut Puspakom
Turut temukan kenderaan 'tidak selamat' tetapi lulus pemeriksaan Puspakom
KUALA LUMPUR – Pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Puspakom Wangsa Maju mendapati, sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.
Sehubungan itu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, penyelia dan kakitangan yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu telah diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ esok untuk disoal siasat.
“Satu kertas siasatan akan dibuka. Kita akan maklumkan kepada media apabila kita sudah peroleh maklumat lanjut,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti Op Mengejut Puspakom yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Operasi bermula pukul 9.30 pagi itu melibatkan 350 pegawai dan anggota bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mematuhi standard yang ditetapkan.
Muhammad Kifli berkata, operasi itu dibuat tanpa memaklumkan kepada pihak Puspakom terlebih dahulu seperti arahan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang ingin JPJ melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.
“Fasa pertama ialah sekatan jalan raya yang telah dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua ialah pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini,” jelasnya.
Mengenai operasi hari ini, Muhammad Kifli berkata, dalam tempoh dua jam sahaja, pihaknya berjaya memeriksa 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan manakala tujuh kenderaan, iaitu lima kereta dan dua lori disita.
Antara kesalahan dikesan melibatkan pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang mungkin boleh meletup pada bila-bila masa.
“Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








