
Teguran Sultan Johor menyeluruh termasuk anggota Kerajaan Perpaduan – Puad
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ditujukan kepada semua pemimpin parti politik termasuk anggota Kerajaan Perpaduan.
Katanya, pemimpin Kerajaan Perpaduan diingatkan tidak menjadi musuh dalam selimut apatah lagi bersekongkol dengan pembangkang dalam gerakan untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini.
“Titah Sultan Johor supaya Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat adalah teguran kepada pelampau politik yang tidak serik dengan pengalaman pahit pertukaran tiga Perdana Menteri sebelum ini.
“Maka, jangan ada parti atau ahli Parlimen di pihak Kerajaan Perpaduan membuat langkah menikam dari dalam. Jangan terbabit proses jual beli politik dengan pihak lawan,” katanya Facebook hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.
Tambah Ahmad Puad, titah Sultan Johor cukup jelas dan amat wajar kerana idea Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan kebuntuan penubuhan kerajaan selepas PRU15.
Kelmarin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Sebelum ini, berlaku pertemuan antara pengasas Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Pas bagi menyokong serta menandatangani proklamasi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








