BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kastam tahan dua lelaki rampas ketamin RM1.56 juta

SEPANG – Seorang remaja berusia 18 tahun merupakan antara dua individu yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) kerana disyaki menyeludup dadah jenis ketamin dengan nilai rampasan RM1.56 juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, seorang remaja dan seorang lagi suspek ditahan dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 dan 2 November lalu.

Beliau berkata, suspek pertama merupakan seorang remaja warga Malaysia berusia 18 tahun yang baharu tiba dari negara Eropah.

“Jumlah dadah dipercayai jenis ketamin yang ditemui bersama suspek berjumlah 16.91 kilogram (kg) dengan nilai anggaran RM845,670.

“Serbuk putih yang diisi di dalam paket plastik itu ditemui selepas pemeriksaan rapi dilakukan oleh pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama
pasukan Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit lll (LTAKL),” katanya.

Beliau berkata, dalam kes berlainan, Bahagian Penguatkuasaan juga dengan kerjasama Bahagian Perkastaman, Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 pada 2 November lalu, menahan seorang lelaki yang membawa beberapa paket plastik berwarna putih mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis sama.

“Anggaran dadah yang terlibat adalah sebanyak 14.18 kg dengan nilaian RM709,030,” katanya.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, bagasi-bagasi tersebut juga telah didaftar masuk menggunakan kaedah ‘checked baggage’ bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button