85 peratus penjawat awam sudah tandatangani SSPA
KUALA LUMPUR – Sebanyak 85 peratus penjawat awam di seluruh negara telah menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, baki 15 peratus lagi penjawat awam yang belum berbuat demikian akan diberikan penerangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut beliau, antara punca yang menyebabkan sebahagian daripada penjawat awam tidak mahu menandatangani sistem berkenaan adalah kerana terpengaruh dengan sebaran maklumat yang tidak tepat.
“Rujuklah portal JPA dan dengarlah nasihat mereka melalui sesi libat urus yang disediakan. Jangan bergantung kepada maklumat rakan di media sosial kerana kadang-kala mereka tidak memahami isu ini sepenuhnya.
“Nasihat JPA adalah sumber paling tepat,” katanya memetik laporan Berita RTM hari ini.
Shamsul Azri berkata demikian semasa Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Taat Setia, di sini hari ini.
Seminar tersebut dihadiri lebih 1,000 peserta, termasuk penjawat awam pelbagai gred dan kementerian, ketua-ketua setiausaha kementerian, serta ketua-ketua pengarah agensi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Dalam ucapannya, Shamsul Azri turut menyeru penjawat awam untuk memartabatkan perkhidmatan awam dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Jika kita tidak berbangga dengan pekerjaan kita, bagaimana kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik? Oleh itu, kita perlu berbangga dengan perkhidmatan ini dan memuliakan tugas serta tanggungjawab dalam perkhidmatan kita,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 750,000 penjawat awam disasarkan untuk menjalani Modul Latihan Malaysia MADANI menjelang 2026.
Setakat ini, lebih 250,000 penjawat awam telah menyelesaikan modul berkenaan melalui Akademi Kenegaraan Malaysia atau Institut Tadbiran Awam Negara.