BERITA SEMASA

CUEPACS setuju dengan PM tiada keperluan cuti tambahan Aidilfitri

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada keperluan memberikan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam.

Laporan portal FMT menyebut Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin sebagai berkata, penjawat awam perlu mengutamakan semangat ‘kerja’, berbanding meminta cuti tambahan setiap kali musim perayaan.

Beliau turut berkata, pihaknya juga tidak akan merayu kerana memahami aspirasi pemerintah yang mahu warga setiap kementerian meningkatkan produktiviti kerja masing-masing.

“Kalau nak cuti lagi, dah terlampau banyak cuti. Kalau perlu cuti Jumaat, ambillah cuti tahun,” pesan Rahman kepada anggota pentadbiran kerajaan.

“Kalau Jumaat cuti (tambahan), produktiviti pun kurang nanti,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri membayangkan tiada hari kelepasan am tambahan diberikan pada 12 April sempena Aidilfitri yang jatuh pada 10 dan 11 Apr.

“(Pada) 12 April ini kita kena ada semangat kerja,” kata Anwar ringkas ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memberikan cuti tambahan.

Tambah Rahman, kaedah ‘work from home’ juga tidak praktikal dilaksanakan pada tempoh berkenaan kerana masing-masing sudah tentu sibuk ‘beraya’.

“Kalau WFH masa raya, ibarat dia takkan buat kerja dah,” katanya, sambil menambah sektor awam perlu melihat sektor swasta yang tidak terlalu bergantung kepada cuti pelepasan am tambahan apabila tiba musim perayaan.

Beliau bagaimanapun menambah, CUEPACS tidak akan menolak sekiranya Kerajaan berhasrat untuk memberi satu hari tambahan cuti kelepasan am.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button