Automatif & TeknologiBerita Semasa

TM kekal tawar 5G walaupun SSA dengan DNB ditamatkan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan 5G Telekom Malaysia (TM) disahkan tidak terjejas walaupun Perjanjian Langganan Saham (SSA) antara syarikat itu dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah ditamatkan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam jawapan kepada Dewan Rakyat hari ini menjelaskan, penamatan SSA itu berlaku selepas TM gagal memenuhi syarat persetujuan pemegang saham yang diperlukan dalam tempoh yang diberikan.

“TM telah meminta lanjutan masa daripada 21 Jun hingga 21 Ogos 2024 untuk memuktamadkan transaksi ekuiti.

“Namun, mereka gagal memenuhi syarat tersebut dan sekali lagi memohon lanjutan sehingga 31 Disember 2024. Permohonan itu tidak diluluskan oleh Lembaga Pengarah DNB, menyebabkan SSA ditamatkan secara rasmi pada 23 Ogos 2024,” katanya.

Gobind berkata, penamatan SSA bersama TM bagaimanapun tidak menjejaskan usaha DNB untuk melaksanakan rangkaian 5G di Malaysia. Manakala empat syarikat telekomunikasi lain, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL telah menyempurnakan pemilikan ekuiti dalam DNB pada 20 Jun 2024.

“Keempat-empat syarikat ini memegang kolektif 65.1 peratus ekuiti dalam DNB, sementara Kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan kekal memegang 34.9 peratus ekuiti serta Saham Khas,” ujarnya.

Menurut Gobind, penamatan SSA itu tidak memberi kesan kepada perjanjian akses yang ditandatangani antara DNB dan TM pada 30 Oktober 2022. Justeru, pelanggan TM masih boleh menikmati perkhidmatan 5G seperti biasa.

“DNB terus komited untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G melalui kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan,” katanya lagi.

Penamatan SSA itu dilihat sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula strategi pelaksanaan model dwirangkaian 5G di negara ini yang diharap dapat mempercepatkan transformasi digital Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button