Berita Semasa

Selangor catat 813 kes keganasan rumah tangga tahun ini

SHAH ALAM – Sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilapor di Selangor antara Januari hingga Ogos lalu, dengan Gombak mencatat kes tertinggi sebanyak 147.

Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, antara penyumbang kepada kes keganasan rumah tangga adalah salah faham mengenai konsep taat kepada suami dan faktor budaya masyarakat.

“Kita berada dalam budaya patriarki dan sekiranya wanita ingin menuntut hak dianggap derhaka. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana al-Quran menyatakan lelaki adalah pelindung,” katanya.

Anfaal berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang terdahulu turut melancarkan kempen tersebut.

Berkeenaan majlis hari ini, Anfaal berkata, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan berasaskan jantina, termasuk keganasan rumah tangga.

“Polis merupakan antara rakan kerjasama kami. Kita mahu luaskan advokasi dalam kalangan orang awam, mahasiswa dan pelbagai lagi sektor.

“Kita juga mahu memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai langkah yang boleh diambil oleh mangsa untuk melindungi diri,” katanya lagi.

Kempen ini merupakan kempen antarabangsa tahunan yang dirai pada setiap 25 November.

Kempen yang bermula sejak 1991 itu digunakan oleh individu dan organisasi untuk menyeru pencegahan dan penghapusan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, khususnya.

Show More

Related Articles

Back to top button