Hiburan

Selepas 7 tahun menyepi, Norish Karman tampil dalam teater muzikal

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun menyepi dari pentas seni, pelakon dan dramatis terkenal Norish Karman kembali menemui peminat dalam teater muzikal Sulalat ‘Us Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim.

Norish yang kini tampil berhijab berkata, sebelum ini banyak tawaran lakonan diterimanya terpaksa ditolak selepas pihak produksi memintanya menanggalkan hijab.

“Apabila ditawarkan untuk membintangi teater ini, saya tanpa berfikir panjang terus menerima. Teater adalah tempat saya memulakan karier seni,” katanya pada majlis pelancaran teater berkenaan di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.

Norish berkata, peluang itu membawanya kembali mengimbau kenangan ketika mula berlakon teater pada usia 12 tahun.

“Saya tidak menyangka dapat kembali ke pentas teater. Saya yakin peminat akan menikmati persembahan ini,” katanya lagi.

Teater muzikal Sulalat ‘Us Salatin akan dipentaskan di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka (JKKNM), Ayer Keroh, Melaka, selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Disember 2024, pada pukul 8.30 malam dengan tambahan sesi matinee pada Sabtu dan Ahad pukul 3 petang.

Projek itu merupakan hasil kolaborasi antara Persatuan Gerakan Anak Seni dan CTRA Production dengan sokongan JKKN Melaka, GAPENA serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain itu, inisiatif ini juga disokong oleh Kerajaan Madani sebagai usaha menghidupkan semula karya agung yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada 2012.

Pementasan itu mengetengahkan kehebatan sejarah kemaharajaan maritim Melayu, dari zaman Raja Iskandar Zulkarnain hingga kegemilangan Empayar Melaka.

Ia memaparkan kisah-kisah epik seperti pengembaraan Raja Suran, kebijaksanaan Hang Nadim dalam insiden Singapura Dilanggar Todak serta kejatuhan Melaka akibat pengkhianatan Sang Rajuna Tapa.

Lebih daripada sekadar hiburan, teater itu bertujuan memelihara warisan budaya melayu dan memperkenalkan keindahan sejarah bangsa kepada generasi muda.

Orang ramai dijemput menyaksikan persembahan ini dengan mendapatkan tiket melalui JKKN Melaka atau Persatuan Gerakan Anak Seni.

Jangan lepaskan peluang untuk menyelami sejarah dan budaya Melayu yang dipersembahkan dengan penuh gemilang melalui teater ini.

Show More

Related Articles

Back to top button