Allahyarham Tun Daim dilepas, dibebas daripada semua tuduhan
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin hari ini dilepas dan dibebas daripada tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan.
“Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan di kalangan solihin,” katanya.
Seksyen 254 CPC menyatakan, dalam mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh dan semua prosiding hendaklah diberhentikan serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.
“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Na’imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.