Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tiga lelaki warga Bangladesh dalang sindiket seks ditahan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menyelamatkan dua wanita warganegara Bangladesh berusia 30 dan 34 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks dalam satu operasi khas di sekitar Kuala Lumpur pada 18 November lalu.

JIM dalam kenyataannya berkata, operasi bermula pada pukul 2.38 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Berdasarkan maklumat, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 36 tahun yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’ dan menjadikan lokasi tersebut sebagai pusat aktiviti seks.

Hasil serbuan, pasukan operasi menahan dua lagi lelaki warganegara Bangladesh berusia 30 dan 39 tahun yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 50 tahun yang merupakan pelanggan.

“Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk wanita warganegara asing terutamanya daripada Bangladesh dan menjanjikan pekerjaan di Malaysia dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan.

“Wanita warganegara asing yang baru tiba akan dibawa ke lokasi yang dijadikan tempat tinggal dan kemudian dibawa ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti seks.

“Mangsa dipaksa untuk bekerja dari pagi hingga ke tengah malam dengan melayan pelanggan warganegara asing yang diuruskan oleh sindiket.

“Mangsa tidak menerima sebarang bayaran dan hanya disediakan makan dan minum sahaja. Mangsa dipercayai telah dieksploitasi sejak sebulan lalu,” menurut kenyataan itu.

Menurut JIM, operasi turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators(NGHTI) 2.0.

JIM berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670).

“Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat yang dapat membantu Jabatan dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button