Draf RUU Pindaan Akta 588 dapat kelulusan AGC – Nie Ching
KUALA LUMPUR – Draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), demikian maklum Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurut Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, edaran kepada agensi serta kementerian telah dilakukan sebelum draf berkenaan dibentangkan kepada Jemaah Menteri seterusnya di Parlimen.
“Sesi libat urus telah bermula sejak tahun Oktober dan November 2023 terhadap Akta 588 di mana kami telah buat sesi libat urus dengan Majlis Peguam dan beberapa orang Ahli Parlimen pada 8 Ogos tahun ini khasnya untuk berbincang mengenai penambahbaikan Seksyen 233.
“Setakat ini, draf untuk pindaan Akta 588 ini telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan edaran telah dibuat kepada agensi dan kementerian selepas dapat ulasan mereka kami akan bentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ia dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Kuching Dr. Kelvin Yii Lee Wuen mengenai langkah kerajaan untuk memastikan Akta 588 tidak menyekat kebebasan bersuara rakyat.
Terdahulu, Nie Ching menjelaskan, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)adalah antara peruntukan sedia ada yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani sebarang aktiviti kemudaratan dalam talian.
Katanya, peruntukan ini hanya akan dikuatkuasakan sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang dikenalpasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam dan juga permohonan daripada agensi penguatkuasaan yang lain.
“MCMC akan menjalankan siasatan secara telus terhadap kandungan yang diadukan dan hasil siasatan kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan pendakwaan,” katanya menjawab soalan asal Kelvin.
Kelvin meminta Kementerian Komunikasi menyatakan pelan kementerian untuk mengkaji dan memperkemaskan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, dalam usaha untuk memastikan peruntukan seksyen 233 Akta 588 selari dengan perkembangan semasa, MCMC proaktif dalam menjalankan sesi libat urus yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan.
Katanya, sesi libat urus itu melibatkan pemain industri, kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta organisasi bukan kerajaan.
“Kementerian Komunikasi dan MCMC juga telah mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dengan Bahagian Hal Ehwal Undang- Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bagi memastikan tiada pertindihan antara Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dan peruntukan-peruntukan bawah Akta 588, termasuk dalam konteks pemakaian seksyen 233,” jelasnya.