Syarikat kurier disaran sertai Program Latihan Pasport Keselamatan Kurier
CYBERJAYA – Bagi meningkatkan tahap keselamatan pekerja dan kecekapan penghantaran bungkusan, semua syarikat kurier di negara ini disaran menyertai Program Latihan Pasport Keselamatan Kurier.
Saranan itu disuarakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyatakan program itu bertujuan menyediakan kemahiran diperlukan pekerja industri kurier untuk melaksanakan tugas dengan baik.
“Ini adalah usaha beberapa pihak bagi memberi penekanan kepada syarikat kurier untuk mereka menitikberatkan aspek keselamatan pekerja dan penghantaran bungkusan.
“Ini satu usaha yang cukup kita raikan dan kita sambut dengan baik, kita harap lebih banyak syarikat kurier akan terlibat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Kurier Negara 2024 yang turut dihadiri Timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Hari Kurier Negara disambut secara rasmi pada 1 November 2024 bagi mengiktiraf dan menghargai lebih 160,000 pekerja kurier di negara ini.
Dalam majlis berkenaan, Fahmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Syarikat Penghantaran Express Malaysia (AMEC) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk pelaksanaan Program Latihan Pasport Keselamatan Kurier.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, majikan dalam industri ini diseru untuk meningkatkan kualiti kehidupan pekerja dengan menyediakan latihan dan pembinaan kapasiti yang mencukupi melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Majikan juga perlu memastikan peluang kemajuan kerjaya yang adil, pampasan dan faedah yang sesuai, selain menawarkan kemudahan keselamatan asas untuk menjaga kesihatan fizikal pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong kemampanan industri,” katanya.
Fahmi menambah, sehingga kini terdapat 104 syarikat kurier yang merupakan pemegang lesen pos dan kurier di negara ini, yang menguruskan hampir 97 peratus penghantaran bungkusan kepada pelanggan.