Berita Semasa

Kes buli UPNM: Tiada kompromi dalam siasatan – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu siasatan telus dijalankan terhadap kes buli membabitkan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mohamed Khaled berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes tersebut memandangkan kes itu melibatkan isu disiplin.

“Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis dan Akademi Latihan Ketenteraan. Jadi kita kena tunggu siasatan dan apa isu yang sebagainya, sebab dia adalah seorang kadet, jadi apa-apa hukuman kita akan beritahu kemudian.

“Kena faham ini bukannya kes buli ketika orientasi atau sebagainya. Sebab ia babitkan pelajar tahun dua dengan tahun empat.

“Ini adalah insiden tersendiri bukannya libatkan banyak pihak. Mungkin sebenarnya mereka bergaduh isu peribadi, itu kita tidak tahu,” katanya sambil menyatakan terlalu awal untuk menentukan hukuman yang bakal diterima oleh suspek.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 meliputi Zon Tengah di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, memaklumkan seramai 16 orang dirakam percakapan membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam kejadian jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa telah didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu kemudian didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa selepas itu membuat laporan polis pada 1 November lalu dan keterangan daripadanya juga sudah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Show More

Related Articles

Back to top button