Fadzillah Abdullah dilantik Pengarah Bebas Capital A
KUALA LUMPUR – Capital A hari ini mengumumkan pelantikan Brigadier Jeneral (B) Fadzillah Abdullah sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat tersebut.
Pengasas Capital A, Tony Fernandes berkata, beliau yakin terhadap keupayaan Fadzillah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pertahanan dan penerbangan akan menjadikannya tokoh penting dalam hala tuju strategik syarikat itu.
“Beliau mencatat sejarah sebagai juruterbang wanita pertama dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Latihan Pertahanan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Beliau juga berpengalaman menguruskan program latihan antarabangsa, pertemuan dua hala dan membina kerjasama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Fernandes turut berkata, pengalaman Fadzillah dalam perolehan, rundingan dan pengurusan projek akan memberi kelebihan besar kepada Capital A.
“Beliau mempunyai rekod pencapaian dalam inisiatif penting seperti pemerolehan aset untuk TUDM yang mana kemahiran itu penting untuk membantu kami mencapai kecekapan kos dan memperkukuh operasi,” katanya lagi.
Fadzillah juga merupakan penyokong tegar pemberdayaan wanita dan kesaksamaan gender, sering mewakili negara dalam forum antarabangsa untuk memperjuangkan peranan wanita dalam kepimpinan dan keselamatan.
Tony berkata, sumbangan beliau dalam merangka Pelan Tindakan Nasional Wanita, Keamanan dan Keselamatan menunjukkan komitmennya kepada kepimpinan yang inklusif dan mampan.
“Pengalaman strategik beliau, ditambah dengan komitmennya terhadap kecemerlangan operasi akan menjadikan beliau aset yang tidak ternilai buat Capital A,” katanya lagi.
Pelantikan itu mencerminkan hasrat Capital A untuk terus berkembang dan meningkatkan operasi, dengan sokongan pemimpin berkaliber seperti Fadzillah.