Tekad mahu bercerai, Diana Danielle nafi berhubung dengan Farid Kamil
KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle menafikan dakwaan suaminya, Farid Kamil bahawa mereka masih berhubung dan tetap menegaskan mahu berpisah.
Menerusi kenyataan di Instagram Stories, Diana juga meminta suaminya itu keluar dari kediaman mereka.
“Kami tidak bercakap menerusi telefon semalam. Saya sudah beri notis dalam WhatsApp untuk dia pindah rumah secepat mungkin kerana akan lalui proses penceraian.
“Saya tidak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku. Saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya… sila hormati,” katanya.
Terdahulu, Farid memaklumkan dia dan Diana masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung selain menyatakan kemelut yang berlaku hanya perselisihan faham kecil.
Isnin lalu, Diana membuat kejutan apabila mengumumkan mahu memfailkan penceraian buat kali kedua menerusi perkongsian di Instagram miliknya.
Sebelum ini, Farid dan Diana bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun rujuk sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.