Kesilapan pandu arah, kapal usang punca KD Pendekar karam
KUALA LUMPUR – Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati beberapa faktor menyumbang kepada insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam pada 25 Ogos lalu.
Menurut TLDM dalam satu kenyataan, kesilapan pandu arah dikesan sebagai salah satu faktor berdasarkan daripada
rekod laluan kapal tersebut.
“KD Pendekar telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai selain faktor keusangan kapal yang melebihi dasar kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain.
“Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lalu oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden kematian penyelam TLDM iaitu iaitu Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa ketika operasi salvaj kapal itu katanya, siasatan mengesahkan bahawa punca kematian penyelam adalah akibat lemas.
“Keadaan di kawasan operasi di mana arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad (sekitar 1 kaki pada hari kejadian).
“Keadaan ini meletakkan seseorang
penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar.
“Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan yang
dilakukan oleh penyelam malang ini tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau
lemas,” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan siasatan, prosedur operasi standard (SOP) penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan.
Katanya, Pleralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman.
Malah katanya, penyelam juga disahkan kompeten untuk menjalankan tugas penyelaman tersebut.
“TLDM mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden yang berlaku. Keselamatan anggota dan kesiagaan armada adalah keutamaan TLDM di samping memastikan kesemua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.