Luar NegaraSukan

Mohamed Salah selamatkan Liverpool, seri 2-2 dengan Arsenal di Emirates

LONDON – Mohamed Salah muncul wira Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81, membolehkan pasukan The Reds seri 2-2 dengan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung sengit, Bukayo Saka membuka jaringan buat Arsenal seawal minit kesembilan. Namun, kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Virgil van Dijk menyamakan kedudukan menerusi tandukan selepas menerima sepakan sudut Trent Alexander-Arnold.

Pasukan kendalian Mikel Arteta kembali di hadapan melalui tandukan Mikel Merino hasil sepakan percuma Declan Rice pada penghujung separuh masa pertama. Gol tersebut disahkan selepas semakan VAR, menandakan Arsenal mendahului perlawanan ketika masuk ke babak kedua.

Separuh masa kedua menyaksikan Liverpool mempamerkan permainan lebih agresif, memanfaatkan kelemahan barisan pertahanan Arsenal selepas Gabriel Magalhaes terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan. Pasukan pelawat kerap mengasak kubu lawan, namun kekentalan benteng pertahanan Arsenal membuatkan mereka sukar mencari peluang jaringan.

Segalanya berubah pada minit ke-81 apabila Darwin Nunez berjaya menghantar bola kepada Salah, yang melakukan rembatan tenang menewaskan penjaga gol David Raya, sekali gus menyamakan kedudukan 2-2.

Di penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol kemenangan dengan Arsenal hampir mendahului menerusi percubaan Gabriel Jesus. Bagaimanapun, tiada tambahan gol tercipta, dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri, masing-masing membawa pulang satu mata.

Keputusan itu menjadikan Liverpool mengekalkan rentak tanpa kalah, manakala Arsenal pula gagal merebut peluang untuk melonjak dalam kedudukan liga.

Show More

Related Articles

Back to top button