Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Warga Nepal cuba culik kanak-kanak direman selama empat hari

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga Nepal yang disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Kuang, di sini direman selama empat hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mahkamah membenarkan suspek direman bermula 23 Oktober sehingga 26 Oktober ini untuk membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berada di negara ini dengan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Kita masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Imigresen berhubung status pasport dan PLKS milik suspek sama ada sah atau sebaliknya.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk motif sebenar kejadian ini,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu penculikan.

Semalam Malaysia Tribune melaporkan seorang lelaki warga Nepal ditahan dan diikat oleh penduduk kampung selepas disyaki menculik seorang kanak-kanak.

Tindakan suspek disedari orang ramai selepas ibu kanak-kanak berkenaan menjerit ketika kejadian berlaku.

Show More

Related Articles

Back to top button