Berita SemasaLuar Negara

Malaysia kutuk serangan di Turkish Aerospace Industries

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku ke atas ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI) yang mengorbankan lima nyawa semalam.

Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataannya merakamkan setinggi-tinggi takziah dan simpati kepada Kerajaan Turkiye dan keluarga mangsa yang terkorban.

Kenyataan dari Wisma Putra itu juga memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang memantau dengan teliti perkembangan itu dan mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian di Kahramankazan itu.

“Setinggi-tinggi takziah dan simpati kepada Kerajaan Turkiye dan keluarga mangsa yang terkorban semoga mereka yang cedera agar segera sembuh.

“Semua rakyat Malaysia di Turkiye dinasihatkan untuk kekal tenang, waspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara melalui +(90) 312 44635 47/48 semasa waktu pejabat atau +(90) 507 8128406 selepas waktu pejabat.

Mereka juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul di +(90) 212 98910 01/09 semasa waktu pejabat atau +(90) 531 7160551 selepas waktu pejabat.

Sebagai alternatif, pertanyaan boleh dihantar melalui e-mel kepada mwankara@kln.gov.my untuk Kedutaan Malaysia di Ankara atau mwistanbul@kln.gov.my untuk Konsulat Jeneral di Istanbul.

Dalam serangan itu, pihak berkuasa Turkiye berjaya menewaskan dua pengganas yang menyerang kemudahan TAI pada petang semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button