Kanak-kanak 11 tahun lemas di sungai
BINTULU – Seorang kanak-kanak ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat di Sungai Plan sekitar kawasan belakang kilang perindustrian di Tanjung Kidurong, di sini, petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dipercayai lemas selepas bermain gelongsor di kawasan parit tetapi dibawa arus deras ke muara dan dihanyutkan ke sungai itu.
Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Gwenna Dhollen Richard, 11, berjaya ditemukan dalam keadaan terapung selepas satu jam setengah operasi mencari dilakukan di kawasan tidak jauh dari lokasi kanak-kanak berkenaan dikhuatiri terjatuh.
“Setiba di lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai, pasukan menjalankan usaha mencari dan menyelamat menggunakan teknik pencarian di permukaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Bintulu, untuk bedah siasat.