Berita SemasaPM X

Kerajaan perkemas kerangka Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkemas kerangka pembangunan lima tahun akan datang bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah itu penting agar usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan menarik lebih banyak pelaburan ke Wilayah Pantai Timur dapat direalisasikan.

“Saya dimaklumkan, bagi tempoh tiga suku pertama tahun ini, ECER berjaya mencatatkan sebanyak RM13.3 bilion pelaburan direalisasikan berbanding sasaran RM10 bilion.

“Jumlah ini melibatkan 21 buah projek yang berupaya mewujudkan 8,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan keluli, petrokimia, produk biojisim dan pelancongan,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Bilangan 2 Tahun 2024, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kejayaan ini selari dengan hasrat Kerajaan Madani yang sentiasa menekankan kepentingan pemantauan dan pemudah cara pelaksanaan bagi pelaburan-pelaburan dari dalam dan luar negara yang diumumkan.

Anwar berkata, mesyuarat turut membincangkan perancangan pembangunan bagi ECER selari dengan kerangka penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang sedang dilaksanakan.

“Antara teras ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan yang dibincangkan termasuklah industri terkait Bakul Makanan (Food Basket), Pelancongan, Pembuatan (Hard-to-Abate) dan Industri Marin.

“Dibincangkan juga peranan sektor Logistik dan Tenaga Boleh Diperbaharui sebagai pemboleh daya bagi ECER,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button