Lelaki bayar guna wang palsu dirakam CCTV di Cyberjaya
CYBERJAYA – Seorang lelaki dipercayai menggunakan wang palsu untuk membeli barang di beberapa kedai sekitar kawasan di sini.
Menurut satu hantaran dalam laman komuniti Facebook Cyberjaya Community, lelaki tersebut yang memakai cermin mata dan bertopi dilihat berbelanja di beberapa kedai berbeza dengan menggunakan wang kertas RM100 yang dipercayai palsu.
Imej lelaki tersebut yang berpakaian berbeza dirakam dengan menggunakan kamera litar tertutup di dua kedai berlainan.
“Info panas ni penguna wang palsu semalam banyak kedai di Neocyber kena dengan mamat ni, report dah dibuat semoga insaf la, buat naya kat orang,” menurut hantaran tersebut.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Ada dua laporan polis di terima di balai polis Cyberjaya. Saya akan kongsi setelah rakaman percakapan mangsa dibuat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.