Berita Semasa

Hukum fahaman GISBH menantikan perkenan Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah membuat keputusan mengenai pandangan hukum terhadap fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), namun keputusan tersebut masih menunggu perkenan Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat pada 23 dan 24 September lalu.

“Pandangan hukum tersebut adalah hasil daripada kertas cadangan yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin, mengenai fahaman GISBH.

“Saya tidak boleh umumkan keputusan itu sekarang kerana ia akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober ini.

“Majlis Raja-Raja yang akan memberikan perkenan terhadap pandangan hukum tersebut,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri program Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2024, hari ini.

Menurutnya, selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, pandangan hukum itu akan dibawa ke peringkat negeri untuk dibincang oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh mufti.

Naim turut menjelaskan bahawa hanya Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu fahaman, termasuk GISBH.

“Jawatankuasa Fatwa MKI hanya boleh memberikan pandangan hukum yang akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja namun pengeluaran fatwa adalah hak negeri.

“Fatwa hanya boleh dikeluarkan di peringkat negeri oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri yang diperkenan oleh Sultan negeri tersebut,” katanya lagi.

Beliau turut mengulas mengenai keputusan tiga negeri, iaitu Selangor, Pahang, dan Perlis yang telah mengisytiharkan fahaman GISBH sebagai sesat.

Keputusan tersebut, katanya, adalah berdasarkan kuasa negeri untuk mengeluarkan fatwa.

“Rakyat perlu menunggu keputusan Majlis Raja-Raja mengenai pandangan hukum itu. Apa yang berlaku di beberapa negeri adalah keputusan negeri masing-masing untuk memulakan proses pengeluaran fatwa,” katanya lagi.

Terbaru, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan fatwa yang memutuskan bahawa pengikut GISBH adalah menyeleweng dan sesat.

Show More

Related Articles

Back to top button