Isu nasab anak-anak ahli GISBH diserah kepada mahkamah Syariah
KUALA LUMPUR – Status perkahwinan ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dinaungi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang sebahagiannya di ‘bin’ kan Abdullah akan ditentukan Mahkamah Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penentuan nasab dan status perkahwinan ibu bapa akan diserahkan kepada hakim mahkamah Syariah selepas pendengaran lisan dan penelitian dokumen dilakukan.
Beliau berkata, bagi penentuan sah taraf perkahwinan itu penting demi menjaga kebajikan anak-anak rumah amal berkenaan.
“Pada peringkat ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak boleh mendaftarkan anak tadi kerana tak ada dokumen yang menyatakan wujudnya perkahwinan yang sah.
“Jabatan Agama Islam negeri-negeri boleh mengeluarkan sijil pernikahan dan sijil pernikahan yang ada itulah yang digunakan JPN untuk mendaftarkan dan mengeluarkan sijil kelahiran untuk anak-anak,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH di Menara Tabung Haji hari ini.
Terdahulu, polis menyelamatkan 392 kanak-kanak dari 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global pada 11 Sept lalu.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak itu di ‘bin’ kan Abdullah, yang mana ibu bapa tidak tahu status kanak-kanak terbabit anak mereka atau sebaliknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







