BERITA SEMASA

Pahang fatwakan GISBH sesat, menyeleweng

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri menyatakan bahawa ajaran pengikut GISB Holdings (GISBH) sebagai menyeleweng dan sesat.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat khas pada Rabu lalu.

Katanya, golongan yang dikategorikan sebagai menyeleweng itu terlibat dalam kepercayaan dan amalan Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam, sebuah ajaran yang telah diwartakan sebagai sesat pada tahun 1994.

“Keputusan itu juga mencakupi mereka yang percaya bahawa Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia pada 2010 tidak mati tetapi hanya ghaib,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Fatwa tersebut turut merangkumi sebarang bentuk, versi atau cabang ajaran yang bersangkut-paut dengan fahaman itu termasuk ideologi, falsafah atau mana-mana kumpulan yang wujud atau bakal diwujudkan.

Tambahan pula, sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH juga tidak diiktiraf sebagai berlandaskan syariah Islam.

Sehubungan itu, Mufti Pahang menggesa kerjasama antara pihak berkuasa seperti Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain untuk merangka pelan pemulihan dan pemantauan pengikut GISBH.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut memperkenankan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin dan pengikut GISBH adalah menyeleweng dari akidah Islam.

Negeri Perlis juga telah mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat, dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyatakan keputusan itu dibuat berdasarkan bukti yang meyakinkan.

Keputusan fatwa itu dilihat sebagai satu langkah penting untuk membendung penyebaran ajaran sesat di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button