Jenayah & Mahkamah

Pemandu lori rempuh 5 kenderaan hingga seorang maut positif dadah

NILAI – Pemandu lori tanah yang merempuh lima kenderaan sehingga menyebabkan seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, di sini, semalam didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Seremban.

“Pemandu lori berusia 30 dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Permohonan dibuat di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

“Ujian awal urin terhadap suspek mendapati lelaki ini positif dadah jenis methaphetamine.

“Susulan itu kes juga disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mat Ghani berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, mangsa seorang pemandu wanita tersepit di dalam keretanya dan parah pada badan serta kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori jenis Nissan itu dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, menghala ke Pusat Bandar Nilai.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.

“Lori itu kemudiannya dikatakan melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah,” katanya.

Mat Ghani berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta jenis Perodua Ativa, seorang wanita berusia 31 tahun dikatakan tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa yang parah di bahagian badan dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat lagi mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza mengalami kecederaan ringan.

“Sementara pemandu lori tipper dan empat mangsa masing-masing menaiki kereta jenis Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebarang maklumat orang ramai boleh salurkan kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012- 9122198 bagi membantu siasatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button