Berita Semasa

Semua premis GISBH di Sabah, Sarawak ditutup

KUALA LUMPUR – Premis berkait GISB Holdings (GISBH) di Sarawak dan Sabah sudah ditutup dan tidak beroperasi lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, ia disahkan selepas satu mesyuarat diadakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi kerajaan yang terbabit dalam siasatan terhadap GISBH.

Beliau berkata, mesyuarat itu bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis yang mempunyai kaitan dengan organisasi terbabit di Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat membabitkan wakil Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hasil mesyuarat itu mendapati, premis-premis yang berkaitan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak sudah ditutup dan tidak beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat itu juga, katanya, semua agensi berkenaan dicadangkan mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis itu mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah.

“Bagi di Sarawak, tindakan yang sama akan dilaksanakan mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.

“Pihak polis akan membantu sepenuhnya dalam menjalankan tindakan ini.

“Walaupun premis ini dikesan tidak beroperasi, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu yang terbabit dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button